lelakitakpuas.com MENJAWAB SOALAN BERKENAAN KEMENANGAN

lelakitakpuas.com MENJAWAB SOALAN BERKENAAN KEMENANGAN

Beberapa orang pengunjung lelaman web ini telah bertanya kepada saya, Mengapakah didalam lelaman web ini saya hanya menampilkan kes-kes dimana pihak perempuan sahaja yang menang; dan mengapakah saya tidak menceritakan kes-kes dimana suami menang dalam perbicaraannya.

Dilelaman ini saya mengutarakan kes-kes yang jadi ‘buah mulut’ orang dan menyebabkan mereka tertanya-tanya mengapa keputusan kes-kes itu agak bertentangan dengan apa yang mereka pelajari daripada guru-guru agama mereka dimasjid-masjid dsbnya berkenaan dengan hukum-hukum kes perkahwinan dan perceraian.

Bukanlah tujuan saya didalam lelaman web ini untuk menunjukkan/menonjolkan kelemahan seseorang atau memperjuangkan hak mana-mana pihak. Tetapi saya ingin menyahut tuntutan Allah keatas khalifah-khalifahNya, ia-itu supaya senantiasa menegakkan KEADILAN.

KEMENANGAN itu adalah ‘subjective’. Seorang isteri yang diceraikan akan menyangka bahwa beliau telah menang dalam kes perceraiannya apabila tuntutan-tuntutan nafkah iddah, mut’ah, sebahagian daripada harta suaminya dan hak penjagaan anak-anaknya telah diluluskan oleh mahkamah walaupun beliau (isteri) berkelakuan curang, nusyuz dll.

Didalam kitab suci AlQuran Allah menyatakan:

“Untuk perempuan yang ditalak itu kegembiraan

(pemberian dari suaminya) secara ma’aruf, sebagai suatu

kewajiban atas orang-orang yang taqwa.” (Surah Al Baqarah, ayat 241)

Jangan baca dan tafsirkan perintah Allah ini ‘out of context.’

Bukan semua isteri layak menuntut mut’ah. Jika seseorang isteri itu curang, nusyuz, derhaka kepada suaminya dan mengabaikan tanggung jawabnya sebagai seoang isteri, maka sudah tentu haknya untuk menuntut mut’ah dsbnya telah gugur.

Pada 20 Feb 2010, seorang pengunjung yang mengenalkan dirinya sebagai Hirwan berkata:

“Like to touch upon this mutaah issue.

    It seems there is much unjust being made by the Syariah Courts based on the Order dispensed to divorced men. And it seems, I am under the impression that certain Islamic Laws are not conformed by the Syariah Courts based on such Orders and decisions.I’d like to highlight a page from the Syariah Court’s website in its Mutaah section…it says…”Mut’ah is a portion of the husband’s wealth that he is obliged to pay to his ex-wife upon divorce provided the divorce was not caused by the ex-wife and not due to the death of the husband.”

    ….”obliged to pay to his ex-wife upon divorce provided the divorce was not caused by the ex-wife”…

    I think the Courts are clearly contradicting themselves here!!

    AKU LELAKI TAK PUAS!!”

Ini adalah tuntutan fardu kifayah keatas diri saya, sebagai seorang peguam Islam yang takut dengan perintah Allah dan sebagai seorang khalifah Allah dibumi ini untuk membetulkan yang salah.

Sebenarnya tidak ada pihak yang menang/kalah apabila perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian. Apabila pasangan suami-isteri itu bercerai, semua pihak akan mengalami kerugian, kehilangan, kesedihan, kekurangan, dll. Pihak suami telah kehilangan isterinya. Si isteri kehilangan suaminya. Terputus silaturrahim diantara mereka. Kasih-sayang yang selama ini terjalin akan hancur berderai ibarat kaca jatuh kebatu. Ada pihak yang tidak puas, memendam perasaan, dan akan bermusuh-musuhan diantara satu dengan yang lain.

Ada pihak yang akan cuba menegakkan benang yang basah. Suami dan isteri masing-masing sibuk memperjuangkan ‘hak’ masing-masing sehingga kepentingan anak-anak mereka terjejas dan menzalimi diri sendiri dan/atau pasangannya. Akibat perceraian itu, anak-anak akan kehilangan tempat berteduh, tempat mengadu, kehilangan kasih-sayang kedua ibu-bapanya, dsbnya. Dan yang amat menyedihkan lagi ialah apabila anak-anak dijadikan ‘alat’ kerana salah satu pihak atau kedua-keduanya cuba menunjukkan belang masing-masing.

Niat atau tujuan mutlak yang mesti tersemai dilubuk hati setiap pasangan suami-isteri apabila mereka ke mahkamah untuk bercerai adalah untuk menegakkan kebenaran dengan tujuan berlaku adil terhadap semua pihak bukanlah untuk meraih keuntungan atau kemenangan dengan menuntut apa sahaja yang boleh dituntut tanpa mengambil kira samada halal atau haram.

Apa yang amat mengecewakan pada masa ini ialah Mahkamah Syariah disalahgunakan oleh isteri-isteri yang berkhalwat, berkelakuan curang, nusyuz dan mengabaikan tanggung jawab yang ingin bercerai untuk membuat tuntutan kewangan(nafkah iddah, mut’ah dan harta sapencarian) yang tertinggi (diparas maximum) daripada suami-suami mereka yang tidak bersalah. Oleh kerana perbuatan-perbuatan salah mereka, hak mereka untuk diberi mut’ah dan harta sapencarian seharusnya telah gugur, tetapi tuntutan-tuntutan ini diluluskan oleh mahkamah. Maka dengan kejayaan mereka dalam membuat tuntutan-tuntutan ini, yang seharusnya telah luput, menyebabkan suami-suami mereka rasa tertekan dan membuat kesimpulan bahwa mereka telah di DENDA, di ZALIMI dan di KHIANATI kerana jarang-jarang sekali terdapat keputusan mahkamah yang menyebelahi mereka. Mereka menerima keputusan mahkamah dengan hati yang luka, tidak ikhlas, marah, geram dan memendam rasa.

Sesuatu pihak yang tidak bersalah (faultless party) itu akan merasa puas hati apabila kes beliau telah ditangani dengan ADIL —— tidak diperintahkan membayar apa yang seharusnya tidak perlu dibayar sehingga koceknya kering kontang, wang simpanannya habis dan terpaksa mencari tempat berteduh dirumah saudara-mara/kawan-kawan/sahabat-handai atau meminta belas kasihan daripada jawatankuasa masjid setempat atau tinggal sementara waktu ditepi pantai.

Seseorang suami tidak akan menjadi LELAKI TAK PUAS jika kesnya telah ditangani dengan ADIL. Suami akan rasa puas hati jika beliau kemukakan bukti-bukti dimahkamah bahwa isterinya yang berkhalwat yang menyebabkan rumah tangganya porak peranda, dan setelah diteliti bukti-bukti yang dikemukakan oleh suami dan ternyata bukti-bukti itu tidak boleh disangkal, dan tuntutan-tuntutan isteri itu tidak diluluskan oleh mahkamah dan tidak menerima apa yang seharusnya beliau tidak berhak menerima atau tidak wajar menerimanya menurut landasan Islam.

Jangan ketepikan prinsip-prinsip Islam kerana ingin mengambil hak-milik orang. Rasulullah juga bersabda:

“Sesungguhnya aku mengadili dan memutuskan perkara antara kamu dengan bukti- bukti dan sumpah-sumpah. Sebahagian kamu lebih pandai mengemukakan alasan dari yang lain. Siapapun yang aku putuskan memperoleh harta sengketa yang ternyata milik orang lain, sesungguhnya aku putuskan baginya potongan api neraka.                                          (HR. Aththusi)

KEADILAN TIDAK MENGAMBIL KIRA BANGSA, RUPA, AGAMA, JANTINA, KETURUNAN, KULIT DSBNYA.

Allah s.w.t. berfirman didalam AlQuran:

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Al Maa-idah:8]

Dan Allah berfirman lagi:

“Sesungguhnya Allah menuyuruhmu, supaya kamu membayarkan amanah kepada yang empunya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan keadilan. Sesungguhnya Allah sebaik-baik mengajar kepadamu. Sesungguhnya Allah Mahamendengar lagi Mahamelihat.

Kisah diantara Saidina Ali (r.a.) dengan seorang Yahudi

Terdapat satu kisah diantara Saiyidina Ali Bin Abi Talib (r.a.) dengan seorang Yahudi berkenaan dengan hak milik sepasang baju besi. Saiyidina Ali telah mendakwa bahwa baju besi itu adalah milik beliau manakala orang Yahudi itu juga mengaku dialah tuanpunya baju besi itu.

Kes ini dihadapkan ke mahkamah yang diadili oleh kadi Syuraih al-Kandi, seorang hakim yang alim, zuhud dan bersifat dengan seorang hakim Islam. Sebagai seorang hakim, Syuraih meminta Saiyidina Ali supaya mengemukakan saksi. Saiyidina Ali gagal memenuhi permintaan hakim itu, maka beliau membuat keputusan yang menyebelahi pihak orang Yahudi itu.

Orang Yahudi itu yang mulanya bimbang dengan keputusan yang akan dibuat oleh tuan hakim yang beragama Islam itu, telah puas hati dengan keputusan hakim yang tidak berpihak kepada Saiyidina Ali walaupun beliau (Saiyidina Ali) adalah penganut agama Islam. Orang Yahudi itu tertarik dengan prinsip-prinsip penghakiman Islam dan hatinya terbuka dengan keindahan agama Islam lalu memeluk agama Islam.

Maka peristiwa ini membatalkan alasan-alasan yang mengatakan bahawa masyarakat majmuk tidak dapat menerima-pakai hukum Islam dan ajaran Islam tidak berupaya berhadapan dengan perkembangan masyarakat dan tidak sesuai lagi sekarang ini. Sebenarnya Islam telah membuktikan di alam nyata bahwa hukum Islam mampu berlaku adil dan undang-undang yang lain daripada Islam adalah hawa nafsu semata-mata.

Sejarah keadilan Islam bukan berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. sahaja bahkan menjadi sejarah dunia selepas kewafatan baginda s.a.w.. Keadilan Islam tidak berjaya dinafikan oleh musuh Islam sendiri yang sentiasa memburuk-burukkan Islam. Mereka gagal membuktikan bahawa Islam tidak sesuai diamalkan sekarang ini.

Masalahnya sekarang ialah hujah-hujah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam telah masuk ke dalam pemikiran orang-orang yang mengaku menjadi orang Islam sehingga mereka ini menjadi ragu-ragu untuk melaksanakan syariat Islam di dalam tanahair umat Islam apabila mereka memegang tampuk pemerintahan.

Mereka masih malu untuk melaksanakan hukum Allah Taala walau pun dunia sekeliling mereka mengalami berbagai penyakit saperti penyakit sosial, ekonomi, akhlak, politik dan lain-lain.

Syuraih telah membuktikan keadilan Islam yang bukan takut kepada Sayidina Ali (r.a.) tetapi takut kepada Allah s.w.t. Sekiranya Syuraih takut kepada Ali tentulah beliau memenangkan Ali di dalam perbicaraan tersebut tetapi Syuraih menegakkan keadilan dengan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak. Hakim Syuraih telah meminta Saiyidina Ali melakukan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:

“Saksi diperlukan kepada orang yang menuduh dan sumpah bagi orang yang

menafikan tuduhan”.

Marilah kita menyahut seruan Allah Taala supaya kita menegakkan keadilan walau pun ke atas diri kita sendiri dan ke atas orang lain supaya kita mengajak orang lain kepada Islam dan menjadi hajat ketika berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari akhirat.

Rasulullah tidak akan teragak-agak untuk menghukum anaknya jika didapati bersalah

Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya senantiasa berlaku adil terhadap semua tidak mengambil kira pangkat samada kaya, miskin, orang asing atau anak sendiri.

Seorang wanita di zaman Rasulullah s.aw. telah mencuri. Lalu Rasulullah memerintahkan agar tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah supaya hukuman keatas wanita itu diringankan. Wajah Rasulullah langsung berubah setelah mendengar rayuan Usmah. Lalu Rasulullah bersabda :

“Apakah kamu akan minta pertolongan untuk melanggar hukum-hukum Allah

Azza Wajalla?”

Usamah lalu menjawab, “Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulallah.”

Pada petang harinya, Nabi sa.w. berkhutbah. Baginda memulakan khutbahnya dengan memuji dan bersyukur kepada Allah s.w.t., lalu bersabda:

“Amma ba’adu. Orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan bila seorang bangsawan mencuri dibiarkan (tidak dihukum), tetapi jika yang mencuri seorang yang miskin maka dia akan dihukum. Demi yang jiwaku dalam genggamanNya. Apabila anakku Fatimah mencuri maka aku pun akan memotong tangannya.”

(HR Bukhari)

Selepas itu Rasulullah memerintahkan supaya hukuman memotong tangan wanita yang mencuri itu dikuatkuasakan.

Didalam mengadili sesuatu kes itu, seorang hakim harus mengadili dan memberi keputusan dengan adil kerana itu adalah tuntutan Allah s.w.t. Keputusan yang tidak menunjukkan keadilan akan membuat orang-orang bukan Islam takut untuk memeluk agama Islam kerana khuatir dizalimi, dikhianati dan dianiyai apabila berlaku perceraian.

Seseorang atau sebuah masyarakat yang gagal untuk menegakkan keadilan boleh menyebabkan seseorang (dan masyarakatnya) itu binasa dan hancur didunia ini dan memperoleh tempat yang hina diakhirat. Ketidak adilan menyekat kemajuan yang kita inginkan.

 Justru itu pemilihan hakim mesti dibuat dengan teliti. Khalifah Umar (r.a.) melantik Syuraih al Kindi untuk menjadi hakim beliau berwibawa. Beliau jujur dan tidak takut untuk menegakkan kebenaran. Sebagai seorang hakim beliau pernah menghakimkan kes Khalifah Umar (r.a.) dan berjaya memerangi hawa nafsu dan mendapati Khalifah Umar (r.a.) bersalah.

 Kemenangan yang diraih tanpa KEADILAN yang berlandaskan prinsip agama Islam bukanlah KEADILAN mutlak yang boleh dibanggakan. Bahkan masanya akan tiba bilamana sesuatu masyarakat itu akan ditimpa musibah disebabkan oleh kezaliman yang berleluasa.(Lihat sabda Rasulullah diatas.)

 Jika undang-undang yang bertentangan dengan agama Islam boleh mencegah seseorang hakim daripada berlaku adil atau undang-undang boleh disalah gunakan dan menyebabkan sesuatu pihak terjejas, maka undang-undang yang bertentangan dengan agama Islam itu wajib dimansuhkan atau diubah walaupun undang-undang yang bertentangan dengan ajaran agama Islam itu sudah termaktub bertahun-tahun lamanya.

 Kepada semua yang mengendalikan kes-kes dimahkamah Syariah, harap TEGAKKAN KEADILAN kerana itu adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan!

 Sesunguhnya Allah menjadi saksi apa yang telah saya sampaikan.

 Wallahu a’alam